Sejak pertama kali menjejak
kaki ke tanah ilmu ini, telah aku rasakan bahawa hidupku akan berubah. Tanpa aku
ketahui perubahan secara positif mahupun negatif, aku terima dengan optimis. Secara
perlahan aku mulai mengenal sifat semula jadi manusia yang sebelum ini tidak
pernah aku temui. Sangkaan aku mengenai persamaan antara semua manusia itu sama
dari segala aspek adalah salah sama sekali. Ternyata walau rambut kita sama
hitamnya, darah kita sama merahnya tetapi kita tetap berbeza. Andai hati nurani
setiap manusia itu adalah sama, pastinya dunia ini akan menjadi suatu kawasan
tanah yang subur dan hijau. Namun, hal itu tak mungkin terjadi kerana telah
diciptakan oleh-Nya setiap manusia itu adalah berbeza. Kejadian ini adalah agar
bumi ini menjadi tempat perhentian semua manusia untuk belajar mengenai
kehidupan sebelum menuju ke kehidupan yang abadi.
Dalam kehidupan ini,
seharusnya kita semua berusaha dan menjadi khalifah yang memakmurkan bumi ini
bukannya malah merosakkan keindahan ciptaan-Nya. Telah diciptakan setiap
manusia dibumi ini untuk mempunyai pelbagai jenis perasaan yang membantu
manusia menjadi makhluk ciptaan-Nya yang lebih baik sifatnya berbanding
ciptaan-Nya yang lain. Manusia diciptakan memiliki akal fikiran yang
divisualkan sebagai ‘otak’ yang sepatutnya menjadi tunjang kawalan kepada semua
yang berkaitan dengan tubuh dan fikiran manusia. Selain itu manusia juga
diciptakan bersama sebentuk daging yang dipanggil ‘jantung’ yang membantu
manusia untuk bernafas. Kadangkala jantung ini didefinisikan juga sebagai ‘hati’
kerana apabila manusia mengalami masalah yang berkaitan dengan perasaan, secara
automatik tangannya akan menunjuk ke lokasi dimana jantung itu berada. Telah menjadi
lumrah kehidupan, tidak semua manusia mempunyai hati dan nurani yang sama
antara satu sama yang lain. Telah ditakdirkan bahawa semua manusia itu adalah
berbeza dari semua aspek. Baik dari paras rupanya yang fizikal itu, mahupun
dari hati dan perasaannya yang literal itu.
Telah diciptakan dengan sebaik-baik
cara oleh Allah SWT bahawa setiap manusia itu tidak akan ada yang sama dari
walau satu aspek pun. Sesungguhnya manusia itu perlu belajar mempelajari
tentang satu sama lain. Hanya dengan cara ini, manusia dapat menentukan apa
yang terbaik untuk dirinya dan juga untuk yang lain. Seburuk mana perangai
seseorang manusia yang kita kenali itu, kita hendaklah mendoakan yang terbaik
untuk dirinya. Semoga manusia itu menjadi makhluk yang seimbang dalam segala
aspek. Semoga juga manusia itu tidak membawa kesan negatif kepada manusia yang lain.
Dalam usaha kita semua menjadi manusia yang sempurna, tidak seharusnya kita
melupakan manusia-manusia yang telah tersimpang jauh dari hala tuju sebenar
ciptaan-Nya ke atas mereka.
Sesungguhnya aku hanya
menyatakan pandangan. Apabila aku berkenalan dengan segolongan manusia, aku
juga ikutan mempelajari tentang diri aku sendiri. Seseorang manusia itu tidak
akan mempelajari tentang dirinya tanpa mempelajarinya melalui orang lain.